Pada masa kini , Universiti
berperanan dalam menyediakan graduan yang kompeten, berinovatif dan memenuhi
keperluan pasaran kerja adalah sesuatu yang penting bagi memastikan graduan
mempunyai kemahiran dan pengetahuan tentang pasaran pekerjaan. Pembangunan
pelajar tidak hanya dilihat kepada pencapaian akademik yang cemerlang tetapi
mempunyai kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh industri dan pasaran
pekerjaan. Segala usaha tersebut adalah untuk
menerapkan kemahiran tinggi dalam kalangan pelajar, maka perlu diterjemahkan
dalam bentuk pelaksanaan di peringkat institusi.
Dari aspek akademik
pula, penambahbaikan kurikulum melalui kajian pasaran pekerjaan dan kerjasama
dengan industri telah dan sedang giat dilaksanakan. Manakala perkhidmatan
sokongan pembangunan kerjaya juga penting dalam memastikan pelajar dapat
menggarap pencapaian akademik dan pembangunan kemahiran tinggi. Dalam erti kata
lain, perkembangan kerjaya pelajar perlu dilihat secara holistik disamping
faktor luaran seperti polisi dan ekonomi semasa, faktor individu seperti
kesediaan kerjaya termasuklah minat kerjaya, kematangan kerjaya, efikasi
kendiri kerjaya, pilihan kerjaya dan membuat keputusan kerjaya yang menyumbang
kepada kepada peningkatan kemahiran tinggi graduan.
Perancangan kerjaya amat penting kerana pasaran kerja pada masa kini
lebih dinamik dan lebih mementingkan kualiti seseorang graduan. Hal ini terjadi
adalah ekoran daripada perubahan pesat dalam penggunaan teknologi dan
kepelbagaian permintaan keperluan oleh majikan. Sebelum melangkah ke alam
pekerjaan graduan perlu membuat persiapan dari pelbagai aspek terutamanya
kemahiran insaniah yang diperlukan dan mereka tidak lagi harus bergantung
kepada pencapaian akademik semata-mata.
Antaranya kemahiran komunikasi secara berkesan dan beberapa kemahiran
lain seperti kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis,
keusahawanan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat serta etika dan
moral profesional.
Kemahiran yang paling utama yang perlu dikuasai
oleh bakal graduan ialah Kemahiran Berkomunikasi. Kemahiran ini
merupakan kemahiran paling asas yang perlu diutamakan kerana majikan akan
meneliti dan menguji graduan samaada kemahiran berkomunikasi mereka adalah
benar-benar pada tahap yang diingini. Memandangkan pada masa ini Malaysia
merupakan salah sebuah negara dunia ketiga yang pesat membangun, maka tidak
hairanlah mengapa Malaysia pada masa ini dibanjiri oleh pelabur-pelabur asing
yang ingin menjalankan perniagaan yang sesuai dengan iklim ekonomi negara.
Secara tidak langsung, situasi ini akan memerlukan tenaga kerja mahir yang
pastinya boleh berkomunikasi dengan baik, terutamanya dalam bahasa inggeris. Bukan
sahaja hanya mampu bertutur dengan fasih, tetapi juga menguasai secara lisan.
Ini kerana, penguasaan terhadap bahasa inggeris seperti berkomunikasi dengan
baik, akan membolehkan bakal graduan menghasilkan idea yang kritis dan kreatif
untuk membantu menarik minat pelabur agar mengikat perjanjian perniagaan.
Selain itu, kehendak pelanggan dalam urusan perniagaan juga dapat difahami
dengan jelas dan baik. Apabila penguasaan kemahiran berkomunikasi ini dapat
dikuasai, maka daya keyakinan akan menjadi lebih tinggi. Malah, bakal graduan
juga akan berpeluang besar dalam mendapatkan sesuatu kerjaya kerana mempunyai
idea yang bernas selain mempunyai pengetahuan teknikal yang mantap.
Selain itu, Kemahiran Kepimpinan juga perlu
dikuasai oleh bakal graduan. Kejayaan sesebuah perniagaan atau jatuh bangunnya
sesuatu itu adalah berdasarkan kepada kepimpinan. Kriteria ini juga sangat
penting untuk dikuasai oleh bakal graduan, sebagai salah satu daripada antara
beberapa kemahiran-kemahiran yang penting untuk dikuasai. Walaupun bakal
graduan tidak akan memegang jawatan tertinggi terus ketika menceburkan diri di
dalam bidang pekerjaan, namun mereka perlu menunjukkan potensi sebagai seorang
pemimpin, yang mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan, seterusnya
melaksanakan tugas tersebut kerana ciri-ciri kepimpinan juga akan dinilai oleh
majikan. Mereka juga perlu mampu menunjukkan potensi dalam memotivasikan serta
memberi dorongan kepada rakan sekerja yang akan bekerja bersama mereka
kelak.
Kemahiran yang perlu ada dan dikuasai oleh para
graduan dan yang diingini majikan juga ialah Kemahiran Kerja Berpasukan.
Persaingan yang berlaku dalam dunia pasaran pekerjaan di antara para bakal
graduan yang telah menamatkan pelajaran saban tahun menyebabkan ramai graduan
yang sukar mendapatkan pekerjaan. Kemahiran kerja berpasukan adalah berbeza
daripada kerja individu. Kerja berpasukan menuntut seseorang itu bekerja dengan
lebih ramai orang tetapi dalam satu kumpulan. Komitmen yang tinggi sangat
dituntut dalam kerja berpasukan. Seseorang itu perlu menunjukkan dia adalah
seorang pemain di dalam pasukan tersebut, selain mampu dan berkeupayaan untuk
menguruskan dan menjadi wakil dalam tanggungjawab yang diberikan. Selain itu,
bekerja di dalam satu pasukan juga menuntut agar sesorang itu mampu serta dapat
membina hubungan yang positif dengan rakan sekerja, sekaligus dapat membantu
mencapai matlamat kerja dan objektif perniagaan yang dijalankan, malah mampu
meningkatkan kualiti kerja.
Tambahan pula, masalah-masalah di dalam proses seuatu
pekerjaan adalah bersifat komplek serta akan membabitkan pelbagai bahagian dan
sistem. Maka secara logiknya, penyelesaian masalah hal sedemikian adalah di
luar batas kemampuan individu. Oleh itu, penting kepada graduan agar dapat
menguasai kemahiran bekerja secara berpasukan agar mereka dapat menjalankan
kerja sekiranya diminta menguruskan sesuatu urusan secara berkumpulan.
Pendedahan yang diberikan atau yang ditimba ketika menjalankan sesi praktikal
perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para bakal graduan, kerana ketika sesi
praktikal inilah mereka akan didedahkan dengan pengalaman kerja berkumpulan
serta membina hubungan dengan orang lain, iaitu rakan sekerja.
Selain itu, penguasaan dalam Kemahiran
Penyelesaian Masalah . Kemahiran ini adalah di antara kriteria yang paling
penting dan utama kepada majikan dalam mencari pekerja. Menurut Ramon
Chelvarajasingam, Ketua Pegawai Sumber Manusia Hong Leong Bank, rata-rata
graduan luar adalah lebih maju dari aspek pemikiran kritikal, lebih inovasi,
malah berfikir di luar kebiasaan serta bermotivasi tinggi untuk maju ke
hadapan, terutama inisiatif pembangunan secara berterusan, berbanding graduan
di Malaysia. Maka, perlu bagi bakal graduan untuk cuba memajukan diri dengan
mempersiapkan diri mereka di dalam menguasai kemahiran ini. Dalam apa jua
bidang yang diceburi, semuanya tidak akan pernah terlepas daripada
menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul di dalam kerja.
Bakal graduan seharusnya lebih bersedia dari
pelbagai aspek, seperti dari aspek mental kerana penyelesaian masalah merupakan
proses mental dalam mengatasi halangan ketika melakukan sesuatu tugasan.
Walaupun boleh mendatangkan cabaran, namun kejayaan dalam menyelesaikan masalah
itu akan menimbulkan keseronokan. Malah, dari satu sudut pula, kemahiran
penyelesaian masalah ini perlu dikuasai kerana ini merupakan satu kelebihan
kerana dapat menyelesaikan sesuatu permaslahan dari pelbagai aspek. Maka, bakal
graduan perlu mengambil peluang yang ada ketika menjalani praktikal untuk
sama-sama terlibat dalam situasi yang memerlukan penyelesaian masalah dengan
memberi sumbangan idea yang bernas bagi menyelesaikan masalah. Kemahiran ini
juga adalah di antara kriteria-kriteria penting yang perlu ada pada bakal
graduan di dalam proses mencari kerja kelak.
Akhir sekali , bakal graduan perlu memiliki Kemahiran
Pengurusan. Melalui kemahiran ini, majikan akan menilai samaada graduan itu
mampu menguruskan sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya. Malah,
majikan juga akan mempastikan juga samaada graduan itu mampu melakukan kerja
secara efisien dan produktif, untuk menjamin kualiti kerja yang baik serta pada
tahap yang diingini. Dalam kemahiran pengurusan ini, perkara yang sangat
penting juga ialah pengurusan masa. Kemampuan mengurus yang baik terutamanya di
dalam memutuskan untuk melakukan kerja yang perlu diberi keutamaan dan fokus
serta perlu diselesaikan mengikut masa juga akan diambil kira oleh majikan.
Kemahiran pengurusan yang baik adalah bonus buat sesuatu organisasi kerana
bukan sahaja mempunyai pekerja yang cekap dan efisien dalam melakukan tugasan
yang diberi, tetapi juga sebagai jaminan kepada penghasilan kerja yang
berkualiti, malah mampu memuaskan hati pelanggan.
Cadangan
kepada Institusi-institusi pendidikan
Institusi-institusi pendidikan perlu mengambil kesempatan,
agar memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah khasnya tentang
kerjaya yang ditawarkan kelak dengan mengikuti pengajian yang
ditawarkan di universiti-universiti tempatan. Dengan adanya
pendedahan ini kepada murid-murid sekolah, maka secara tidak
langsung, ini akan dapat membantu mereka lebih bersedia sedari awal
apakah bidang yang ingin diceburi kelak ketika menuntut di
universiti. Mereka akan dapat mengumpul seberapa banyak keperluan
yang penting, seperti kemahiran-kemahiran insaniah yang perlu
dikuasai dan dimiliki sebelum melangkahkan kaki ke gerbang kerjaya
kelak.
Cadangan
kepada Badan kerajaan
Badan kerajaan yang berkenaan ialah Kementerian Pengajian
Tinggi dan Kementerian Pelajaran, selain badan-badan kerajaan lain
yang berkaitan dengan pelbagai bidang. Dengan adanya kerjasama ini,
maka akan lebih banyak lagi program dapat diadakan dalam membantu
bakal graduan meningkatkan lagi tahap kreativiti mereka, sekaligus
dapat mengetengahkan bakat serta membantu mereka mempersiapkan diri
berdepan cabaran global pasaran kerja dan menguasai malahan mengasah
kemahiran insaniah yang perlu ada dalam diri untuk mencari pekerjaan
kelak dengan berasaskan program-program yang mampu merangsang
kemahiran berfikir mereka. Sebagai contoh pada masa ini, pihak
berkenaan menganjurkan Pertandingan Robotik, yang antara lainnya
bertujuan mendidik bakal graduan dalam menghasilkan karya yang
canggih untuk manfaat generasi akan datang.
Rumusan
Kemahiran insaniah atau soft skills merupakan intipati utama dalam
pengajian di universiti-universiti tempatan, samaada secara langsung ataupun
tidak, merupakan kemahiran yang perlu dimiliki serta dikuasai oleh bakal
graduan sekiranya mereka ingin mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan
kemahiran dan segulung ijazah yang dimiliki.Justeru itu, graduan
harus mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh
bersaing di pasaran pekerjaan yang sangat kompetatif. Mereka juga harus sedar
bahawa pencapaian akademik semata-mata tidak lagi menjamin mereka untuk
mendapat jawatan yang setaraf dengan kelulusan yang mereka peroleh.
( 1387 patah perkataan )
Bahan Rujukan :
- https://leaderonomics.com/bm/artikel/lima-kemahiran-yang-anda-perlu-miliki
- http://www.ukm.my/ukmkarier/kemahiran-kerjaya-abad-ke-21-isu-dan-cabaran-graduan-universiti/
Comments
Post a Comment